

Raub adalah salah sebuah dari 6 buah daerah yang terdapat di Pahang. Daerah Raub terdiri daripada 7 buah mukim iaitu Batu Talam, Sega, Semantan Ulu, Dong, Ulu Dong, Gali dan Tras. Ia juga mempunyai 37 buah kampung tradisional dan 9 buah kampong baru China . Raub berlokasi di sebelah barat negeri Pahang dan keluasannya ialah 2,271 kilometer persegi, iaitu 6.34% dari keluasan Pahang (35,823 kilometer persegi). Raub terletak antara dua banjaran, iaitu Banjaran Utama dan Banjaran Gunung Benom. Ketinggian Raub adalah 160 meter dari atas paras laut dengan purata suhu tahunan 79.5º dan hujan tahunan kira-kira 200 sentimeter. Jarak Raub dengan Kuala Lumpur hanya 130 kilometer dan hanya akan mengambil masa 1½ jam untuk sampai ke pekan kecil ini melalui lebuhraya Kuala Lumpur Karak.
SEJARAH AWAL RAUB
Menurut kepercayaan orang-orang tua daerah ini, Raub telah diteroka dan dibuka dalam kurun ke 18. Mengikut sumber-sumber yang diperolehi, dua orang pemuda bersama ayah mereka telah melalui hutan rimba serta menyusuri sebatang anak sungai. Setelah sekian lama mengembara mereka sampai ke Tebat atau Tebatan(satu kawasan di mana pengaliran air sungainya tersekat atau digelar empang).
Sebaik sampai di situ, si ayah mengatakan kepada anaknya di situlah tempat yang paling sesuai untuk berehat.Kelihatan pasir di kiri dan kanan Tebatan itu amat bersih. Kedua pemuda itu bersetuju dengan cadangan ayah mereka. Mereka pun mula membuka kawasan itu. Sekitarnya dibersihkan lalu didirikan sebuah pondok untuk kediaman mereka. Setiap hari ketiga-tiga beranak itu memasuki hutan untuk mencari rotan, damar, getah, jelutung dan sebagainya.
Mereka juga memetik pucuk dedaun yang begitu subur berhampiran Tebatan untuk dijadikan makanan.Segeralah ketiga beranak itu meraup pasir-pasir ditebing Tebatan itu dengan tangan masing-masing. Setiap kali diraup, setiap kali emas diperolehi. Disebabkan emas begitu banyak dan terlalu mudah untuk mendapatkannya; hanya menggunakan tangan untuk meraup, adalah dipercaya mereka menamakan tempat itu dengan gelaran "RAUB".
Sejak itu setiap hari mereka terus meraup emas. Kawasan Tebatan yang pertama mengeluarkan emas tadi, sekarang ini ialah di Padang Besar Majlis Bandaran Daerah Raub. Begitulah mengikut cerita lisan orang tua di daerah ini. Bagaimanapun, jika gelaran nama Raub lahir daripada kerja meraup emas tadi, sedikit perbezaan timbul dari segi ejaan. Perkataan meraup emas lahir dari kata dasar "Raup" sedangkan "RAUB". Namun begitu, kemungkinan bahasa daerah itu lebih sesuai digunakan dengan ejaan RAUB dari Raup.
Perkataan Raub dalam Bahasa Malaysia bermaksud genggam. Mengikut sejarah, pusat perlombongan ini dinamakan Raub selepas pelombong-pelombong menjumpai seraub emas pada setiap dulang pasir. Hal ini dinyatakan dengan menarik oleh J.A. Richardson dalam bukunya, The Geology and Mineral Resources of the Neighbourhood of Raub Pahang. Menurutnya, "People found that for every "dulang" of sand there was a handful (raub) of gold" (hlm. 36).
Raub menjadi terkenal pada awal abad ke-20 kerana hasil emasnya. Syarikat lombong emas yang mengusahakan perlombongan di daerah ini ialah Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang didaftarkan pada 1889 di Queensland, Australia. RAGM juga dikenali sebagai Raub Gold Mine.
Pada awalnya syarikat lombong ini dikenali sebagai Australian Syndicate Ltd dan kemudian Australian Gold Mining Co. Ltd pada 1892. RAGM beroperasi sehingga 1961.
Kaedah perlombongan yang dijalankan di daerah Raub adalah kaedah bawah tanah ( shaft mining) dan ia dimulakan di Lubang Raub (Raub Hole). Daerah yang terlibat dengan perlombongan emas ialah Bukit Koman dan dipercayai perlombongan telah meliputi kawasan bawah tanah hingga ke bandar Raub. Kawasan bawah tanah antara pekan Bukit Koman dan bandar Raub adalah berlubang dan ini meninggalkan kesan yang buruk kepada pembangunan fizikal bandar. Hingga kini Raub tidak boleh mendirikan bangunan-bangunan tinggi.
Kegiatan perlombongan emas telah meninggalkan warisan sejarah yang berharga untuk daerah Raub. Kebanyakan nama jalan-jalan utama bandar Raub sebelum 1980-an adalah sempena nama pengurus lombong RAGM. Misalnya jalan Bibby Road, sempena nama pengurus pertama, William Bibby dan Mason Road yang juga sempena nama salah seorang pengurus lombong zaman berkenaan.
Kemajuan perlombongan juga menyebabkan bandar Bukit Koman kawasan di mana RAGM beroperasi menjadi terkenal dan mendapat jolokan "Ibu Emas Malaysia". Ia seolah-olah menjadi pusat pelancungan daerah Raub. Ramai pelawat-pelawat asing dari England, Singapura dan beberapa negara lain mengunjungi bandar ini dengan tujuan untuk melihat sendiri kegiatan perlombongan emas. Bandar Bukit Koman juga menikmati pelbagai kemudahan selepas R.A.G.M. memulakan kegiatan. Antaranya jalanraya yang menghubungkan bandar Bukit Koman dengan daerah Raub dan dengan Kuala Lumpur, rumah sembelih binatang, kedai, bekalan letrik dan berek tempat tinggal untuk para pekerja dan sebuah sekolah rendah berpengantar bahasa Cina, Yuh Hwa yang dibina pada 1907. Ia disifatkan sebagai sekolah kebangsaan Cina kedua tertua di Malaysia.
Ancaman Komunis di semenanjung dan khususnya di daerah Raub pada tahun-tahun 40-an menyebabkan langkah-langkah diambil untuk mendirikan penempatan-penempatan baru. Hasilnya muncul kampung-kampung baru yang kekal hingga ke hari ini. . Kampung-kampung baru tersebut ialah Cheroh (1948), Sang Lee (1948), Sungai Ruan (1948), Sungai Chetang (1948), Bukit Koman (1949), Sempalit (1950), Sungai Lui (1950), Tras (1950) dan Sungai Klau (1960).
No comments:
Post a Comment